BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, February 2, 2009

Selamatkan Palestin..

USM CARI JALAN BANTU PENDUDUK GAZA


PULAU PINANG, 2 Feb – Universiti Sains Malaysia (USM) bercadang mengambil kanak-kanak mangsa peperangan di Gaza, Palestin untuk diberikan bantuan perubatan dan tempat tinggal sementara yang lebih selamat di negara ini.

Misi membawa kanak-kanak malang tersebut ke negara ini khususnya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian tercetus disebabkan kesukaran untuk menghantar bantuan penyelamat dari Malaysia ekoran pergolakan di negara tersebut masih belum reda dan diisytihar selamat.

Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak berkata, langkah iu dirasakan amat sesuai bagi membantu mangsa peperangan di Gaza yang dihimpit masalah kekurangan bantuan perubatan khususnya dari segi peralatan, ubat-ubatan dan sebagainya.

Katanya, walaupun banyak pihak telah berusaha mengumpul dana untuk disalurkan ke Gaza, namun itu tidak mencukupi memandangkan mangsa peperangan khasnya kanak-kanak di sana memerlukan lebih dari sekadar wang ringgit.

``Keadaan di Gaza amat teruk dengan kemusnahan berlaku di mana-mana termasuk di hospital. Pakar-pakar perubatan di sana menghadapi masalah dalam memberi bantuan perubatan kerana peralatan tidak mencukupi dan bilangan pesakitnya ramai.``

Justeru USM perlu mengambil inisiatif untuk membantu mereka dengan cara membawa balik kanak-kanak yang tercedera dan trauma ekoran peperangan itu ke Malaysia dan diberikan bantuan sewajarnya,’’ jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Perutusan Naib Canselor USM 2009 yang bertajuk Universiti APEX: Satu Tuntutuan, Satu Pengorbanan di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Dato’ Ani Arope.Dzulkifli turut berkata, situasi di Palestin sangat berbeza dan pelbagai pihak di negara ini menghadapi kerumitan untuk menghantar pasukan perubatan ke sana.

``Walaupun kita tidak dapat ke sana, namun kepakaran dan peralatan yang kita ada tetap boleh digunakan dengan membawa pesakit-pesakit dari Gaza ke HUSM. Ini dirasakan sangat membantu meringankan beban dan kesakitan yang mereka alami,’’ ujarnya.

Tambah beliau, kanak-kanak tersebut akan ditempatkan menerima rawatan di HUSM dalam tempoh tertentu sehingga mereka benar-benar pulih sebelum dihantar semula ke Palestin.

Beliau berkata, USM ketika ini sedang dalam perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy) dalam usaha merealisasikan misi kemanusiaan tersebut.

``Jika perbincangan berjalan lancar, USM dijangka menempatkan sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak Palestin berusia bawah 10 tahun di HUSM pertengahan Mac depan,’’ tambah beliau.

Terdahulu, USM melalui Pusat Islam turut berjaya meraih kutipan daripada warga kampus berjumlah RM12, 582 untuk disalurkan ke Tabung Bantuan Palestin.

Dana tersebut telah diserahkan oleh Pengarah Pusat Islam USM, Prof. Madya Nasirun Saleh kepada Ani Arope dalam majlis yang turut dihadiri oleh kira-kira 3,000 warga USM tersebut.


sumber dari laman web USM

0 PENDAPAT SEJAGAT: